1. Mazhab Hanafi
2. Mazhab Maliki
3. Mazhab Syafie
4. Mazhab Hanbali
Terjadinya mazhab dalam Islam adalah kerana setiap kata-kata, perbuatan, dan kehidupan Rasulullah SAW tidak direkodkan ataupun dikitabkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Seperkara lagi, apabila baginda SAW wafat, bukan semua sahabat yang boleh menjadi rujukan para sahabat lain ketika itu dalam mengambil satu-satu hukum ugama. Mengikut sejarah terdapat sekumpulan sahabat yang boleh berijtihad mengikut ilmu dan pemahaman mereka yang mereka perolehi dari Rasulullah SAW, diantaranya ialah:
1. Khulafa' Ar-Rasyidin - Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Omar, Sayyidina Othman dan Sayyidina Ali.
2. Isteri Rasulullah SAW - Sayyidatina Aisyah RH
3. Beberapa sahabat yang lain seperti Anas bin Malik, Ibnu Omar, Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dsb.
Ada juga dikalangan sahabat yang kuat menggunakan hukum ra'yi ataupun ijtihad dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, dan beliau amat ahli serta mahir dalam penggunaakan hukum ra'yi, dan beliau adalah Ibnu Mas'ud RA. Ibnu Mas'ud RA adalah diantara sahabat kecil yang sebaya dengan sahabat kecil yang lain seperti Ibnu Omar, Ibnu Abbas dan dan nama mereka semuanya adalah Abdullah. Ibnu Mas'ud boleh dikatakan bersama Rasulullah SAW hampir seluruh masa kecil dan remajanya, dan beliau dihantar ke Kufah pada zaman Sayyidina Omar ibnu Khattab (kalau tak silap saya) sebagai wakil governor disana. Maka di Kufah pulalah berkembang ilmu fekah mengikut kaedah-kaedah Ibnu Mas'ud RA, dan susur galur tersebut sampai kepada Imam Abu Hanifah ataupun Abu Nu'man Bin Thabit pengasas Mazhab Hanafi.
Manakala Anas bin Malik RA pula yang menjadi khadam kepada Rasulullah SAW sehingga akhir hayat baginda SAW tinggal di Madinah dan mempunyai seorang khadam yang bernama Nafi', dimana Nafi' ini menjadi guru kepada guru Imam Malik bin Anas, maka disini pula timbul keadah "Hukum yang berdasarkan kepada Adat Ahlu Madinah" yang diasaskan oleh Imam Malik bin Anas. Ini adalah kerana tempoh hidup diantara guru Imam Malik dengan Anas bin Malik RA tidak jauh, malah dikatakan mengikut sejarah Imam Malik sempat berguru pula dengan tabiin.Begitulah juga sejarah-sejarah para sahabat yang lain, yang mana mereka ini bertaburan diserata pelosok dunia mengembangkan syiar Islam kepada sekelian ummah. Umpamanya, mengikut sejarah Ibnu Abbas RA pula bermukim di Mekah Al-Mukarramah sepanjang hayat beliau dan dari situ pula lahirlah ulamak pendiri mazhab iaitu Imam Muhammad bin Idris As-Syafie, atau lebih dikenali sebagai Imam Syafie. Begitu juga dengan sejarah Imam Hanbali.
Kaedah-kaedah yang digunakan oleh para Imam pendiri mazhab sebenarnya bukanlah asing, ianya telah digunakan oleh para sahabat dan tabiin sebelum mereka. Umpamanya dalil berijtihad ataupun hukum ra'yi kesemua imam mazhab mengatakan boleh berijtihad adalah disebabkan mereka bersandar pada satu hadis yang masyhur ketika Rasulullah SAW mengirim Muaz bin Jabal sebagai wakil baginda ke suatu daerah dimana baginda SAW bertanyakan apakah panduan yang beliau akan gunakan ketika bertugas, maka sahut Muaz bin Jabal beliau akan gunakan Quran dan Hadis dan sekiranya tidak terdapat darinya maka beliau akan berijtihad berdasarkan kepada kehendak Al-Quran dan Hadis.
Jika kita selusuri sejarah Imam 4 mazhab, kesemua mereka hafal beribu-ribu buah hadis dan disamping itu pula mereka hafal Al-Quran sejak dari kecil lagi. Mereka pula berguru dengan sekian ramai ulamak-ulamak yang muktabar dizaman mereka dan mereka juga fasih dalam setiap nahu, sarof dan balaghoh dalam bahasa Arab. Jadi bolehlah saya mengatakan mereka telah berjasa besar dalam umat Islam itu sendiri dan memang tidak dapat dinafikan bahawa memang terdapat sedikit khilafiyyah dalam menafsirkan satu-satu hadis diantara imam tersebut, namun perbezaan mereka tidaklah sampai menjadi pertikaian lidah yang menyebabkan berpecahnya umat Islam. Kita lihat sahaja, Daulah Abbasiyyah ketika itu berpegang kepada ajaran Imam Hanafi dimana Qadi Abu Yusof salah seorang anak murid kanan Imam Abu Hanifah menjadi penasihat agama kepada Khalifah Abbasiyyah dan ketika itu pula Imam Syafie dan Maliki masih hidup, dan mereka pula tidak sedikitpun mempertikaikan akan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mazhab Hanafi, sebab mereka juga maklum akan kaedah-kaedah yang digunakan oleh mazhab Hanafi, dimana ianya juga menjadi sebab bagi Imam Syafie untuk keluar merantau ke Kufah dari Madinah untuk mempelajari akan kaedah ra'yi tersebut. Tambahan pula, ketika Imam Syafie menjadi imam kepada pengikut-pengikut Imam Hanafi di Kufah, beliau tidak membawakan bacaan Qunut ketika sembahyang subuh kerana menghormati akan pandangan Imam Hanafi, dan apabila Imam Syafie pulang ke kampungnya beliau pula membacakan Qunut pada pengikut-pengikut beliau ketika sembahyang Subuh.
Mengikut satu riwayat Imam Malik pernah ditanyakan oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, agar diselaraskan kesemua negeri-negeri Islam mengikut pandangan Imam Malik bin Anas, namun ianya tidak persetujui oleh beliau kerana menurut beliau ianya akan menyebabkan kesukaran kepada umat Islam sekiranya hanya menerimapakai pandangan beliau sahaja.
Apabila umat Islam semakin meluas, maka pemahaman terhadap Islam itu menjadi bermacam-macam, maka kita seharusnya merasa bersyukur bahawa dengan wujudnya Imam 4 mazhab tadi sedikit sebanyak telah memudahkan kita dalam urusan ibadat seharian. Jika tidak, kita terpaksa membuka kitab Al-Quran dan Hadis yang dalam berbahasa Arab, yang mana kemungkinan besar kita tidak akan dapat mendapat akan maksud pengertian yang sebenar, dan dikhuatiri akan terpesong dari maksud ayat yang sebenar, ini akan menjadi lebih bahaya. Tidak semua orang tahu akan ilmu mustalah hadis, tidak semua pula arif akan jenis-jenis ayat dalam Al-Quran, dan bermacam-macam lagi. Jika perkara ini dibiarkan, maka kita akan dapati dengan mudah dalam satu rumah orang-orang akan berwuduk dengan pelbagai cara dan fesyen, dan masing-masing akan berkata bahawa dialah lebih faham akan maksud Quran dan hadis, kita akan dapati pelbagai cara orang bayar zakat, pelbagai cara orang berkahwin, kahwin mutaah dibenarkan, dan bermacam-macam ragam ibadat yang bakal dilakukan oleh manusia. Yang inilah yang amat dikhuatiri oleh ulamak-ulamak dahulu ketika mereka berperang dengan golongan yang anti-mazhab ataupun la-mazhabiyyah. Penghujungya, umat Islam dalam satu keluarga pun akan bergaduh sesama sendiri. Kita sendiri boleh bayangkan keadaan begitu apabila semua orang boleh menafsirkan Quran dan Hadis dengan cara sendiri.
Kita sepatutnya maklum bahawa setiap perbahasan mengenai ibadat sudah pun ada keputusannya dalam mazhab yang empat, jadi terpulanglah kita nak mengikut yang mana. Sekiranya kita tak suka kepada Qunut, dan rasa susah untuk mengamalkannya kita boleh ikut mazhab Hanafi ataupun Hanbali. Akan tetapi janganlan ambil bab Qunut sahaja, sekiranya kita memilih Hanbali disebabkan kita yakin bahawa pendapat Imam Hanbalilah lebih bagus dari Imam Syafie dlaam bab Qunut, maka kita wajib untuk ikut keseluruhan cara ibadat mazhab Hanbali, bermula dari bab taharahnya sehinggalah pada bab batalnya, begitu juga yang lain. Jangan buat ikut sedap hati, mana terasa nak pakai, kita petik pandangan mereka mengikut kesesuaian hawa nafsu kita, sesudah itu kita canangkan ianya mengikut Quran dan Hadis. Ini satu pendapat yang melampaui batas, dan tidak wajar untuk diterima.
Kita lihat pula dikalangan orang Melayu di Nusantara baik di Malaysia, Indonesia, Brunei, Patani, dan di Mindanao sebab musabab mazhab Syafie lebih diterima dan ianya pula dikembangkan oleh ulamak-ulamak Syafiyyah yang terdiri dari kalangan ulamak-ulamak Arab dari Hadramaut, Gujarat, dan malah dikalangan bangsa Melayu itu sendiri. Umat Melayu ini jika dikaji latarbelakang mereka, adalah satu golongan yang amat patuh dalam beragama. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang muslim yang taat beragama, maka disitulah kenapa mazhab Syafie lebih diterima, kerana mengikut keterangan Ibnu Batutah seorang pengembara Islam yang sempat singgah disebuah negeri Melayu, beliau menyatakan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang raja yang adil lagi amat alim dalam mazhab Syafie. Mengikut kajian saya pula, mazhab Syafie adalah halus, dan setiap isu dan permasalahan telah diperbincangkan dengan lebih mendalam oleh ulamak-ulamak pendokong Syafieyyah seperti Imam Nawawi, Imam Ghazali dan sebagainya. Bangsa Melayu pada masa dahulu amat berminat dalam ilmu-ilmu kerohanian yang ketika itu banyak dipelopori oleh Imam Ghazali, yang mana Imam Ghazali juga dalah seorang imam besar tasauf yang bermazhab Syafieyyah, jadi secara tidak langsung mazhab Syafie semakin kuat berakar umbi dikalangan bangsa Melayu diNusantara. Setiap permasalahan seperti tahlil, wirid, doa dan sebagainya semuanya telah ada jawapan sebenarnya dalam mazhab Syafie. Ok kat mana pula yang dikata pintu ijtihad masih terbuka, sedangkan ada golongan yang mengatakan dengan bertaqlid buta pada mazhab akan menyebabkan kemunduran umat. Ini juga satu pendapat yang salah, bagi orang yang tidak belajar sunnah dan quran.
Pintu ijtihad masih terbuka sebenarnya, akan tetapi bagi perkara-perkara baru yang mungkin tidak diperbincangkan oleh ulamak-ulamak dalam mazhab kita, umpamanya isu dadah, isu kereta, memiliki komputer dan TV dan sebagainya, maka ianya adalah terbuka seluas-luasnya untuk ulamak-ulamak berbincang dengan penuh tawaduk untuk mendapatkan satu kata putus yang mana ianya boleh memberi kemudahan dan kebaikan kepada semua ummah...
pendapat : kripnonite
hari jumaat lepas saya telah mengikuti kuliah agama yg disampaikan oleh seorang tuan guru yg dihormati di kampung saya.masalah timbul apabila beliau dgn tegas menyatakan beliau mengikut mazhab syafie TETAPI TIDAK MENGIKUT SEMUA HUKUM YG TERKANDUNG DLM MAZHAB SYAFIE kerana bagi beliau ada beberapa hukum dlm mazhab syafie yg menyusahkan dan beliau memberikan hujah ISLAM itu mudah.
Contohnya,dalam mazhab syafie,persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yg bukan mahram akan membatalkan wudhu.cuma dlm keadaan darurat seperti keadaan bersesak-sesak ketika tawaf membolehkan kita menggunakan pendapat terlemah dlm mazhab syafie yg menyatakan persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yg bukan mahram tidak membatalkan wudhu.tetapi,kalau mengikut tuan guru ni,wudhu tidak batal jika kulit lelaki dan perempuan yg bukan mahram tersentuh walapun bukan dlm keadaan darurat.
selain itu,beliau juga menegaskan,adakalanya beliau tak mengikut mazhab syafie sebab beliau mengikut Rasulullah dan Al-Quran.
contoh kedua,dalam mazhab syafie,solat jama hanya boleh dilakukan jika kita musafir melebihi 2 marhalah (kira-kira 90km).tetapi kalau mengikut tuan guru ni,asalkan bermusafir melebihi 3 batu (kira-kira 5km),kita dah boleh lakukan solat jama.
jadi apa pandangan ahli forum tentang seseorang yg bermazhab tetapi tidak mengambil keseluruhan hukum yg terdapat dlm sesuatu mazhab?
adakah kita dibenarkan bertukar-tukar mazhab dlm kehidupan seharian?maksud saya,kita menggunakan semua hukum dalam semua mazhab (ambil yg mana lebih mudah)..
sebelum ni beliau juga pernah berkata,"ana tak ikut cara imam syafie tapi ana ikut cara Rasulullah".masa tu beliau baru balik dr mengerjakan haji/umrah.adakah terdapat perbezaan cara mengerjakan haji/umrah antara Rasulullah dengan imam syafie?
sanggahan : bendahara paduka raja
Ulama bersepakat mengatakan bhw tidak wajib bg seseorang utk menetapi pada satu2 mazhab dan tidak pula wajib bertukar2 mazhab. Maknanya kita nak ikut mazhab Syafie sampai kita mati pun boleh dan kalo kita nak tukar2 mazhab pun boleh dgn syarat jangan talfiq.
Talfiq tu maksudnya mencampur adukkan pendapat2 imam yang berlainan mazhab dlm satu2 ibadat. Contohnya kita ambik wuduk cara Syafie tapi dlm bab membatalkan wuduk kita guna pendapat Hanafi yang mengatakan tak batal wuduk jika bersentuhan kulit antara laki2 dan perempuan yg bukan mahram. Ini dinamakan talfiq dan orang mengamalkan talfiq hukumnya adalah haram dan ibadahnya tidak sah.
Kenapa tidak sah? Bagi contoh di atas, baik Imam Syafie atau Imam Abu Hanifah tidak mengakui ibadat tersebut. Imam Syafie tidak mengakuinya kerana di sisi beliau wuduk tersebut batal kerana bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram membatalkan wuduk. Sementara itu di sisi Imam Abu wuduk tersebut juga tidak sah kerana wuduk tersebut diambil secara Syafie. Oleh kerana itu wuduk tersebut adalah batal.
Sementara itu, tidak menjadi sebarang masalah jika kita tidak mengamalkan keseluruhan pendapat dalam satu2 mazhab. Contohnya dalam bab solat kita ikut Syafie, bab puasa ikut Maliki, bab haji ikut Hanafi, bab zakat ikut Hanbali dengan syarat tidak talfiq. Bermaknanya jika kita hendak solat hendaklah solat itu ikut Syafie dari mula sampai habis dan begitulah seterusnya ibadat2 yang lain dgn syarat jangan dicampuradukkan dengan pendapat2 mazhab lain.
bendahara paduka raja wrote: |
Ulama bersepakat mengatakan bhw tidak wajib bg seseorang utk menetapi pada satu2 mazhab dan tidak pula wajib bertukar2 mazhab. Maknanya kita nak ikut mazhab Syafie sampai kita mati pun boleh dan kalo kita nak tukar2 mazhab pun boleh dgn syarat jangan talfiq. Talfiq tu maksudnya mencampur adukkan pendapat2 imam yang berlainan mazhab dlm satu2 ibadat. Contohnya kita ambik wuduk cara Syafie tapi dlm bab membatalkan wuduk kita guna pendapat Hanafi yang mengatakan tak batal wuduk jika bersentuhan kulit antara laki2 dan perempuan yg bukan mahram. Ini dinamakan talfiq dan orang mengamalkan talfiq hukumnya adalah haram dan ibadahnya tidak sah. Kenapa tidak sah? Bagi contoh di atas, baik Imam Syafie atau Imam Abu Hanifah tidak mengakui ibadat tersebut. Imam Syafie tidak mengakuinya kerana di sisi beliau wuduk tersebut batal kerana bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram membatalkan wuduk. Sementara itu di sisi Imam Abu wuduk tersebut juga tidak sah kerana wuduk tersebut diambil secara Syafie. Oleh kerana itu wuduk tersebut adalah batal. |
Betul tu tuan. Senang cerita orang awam macam kita lebih baik ikut sahajalah mazhab tu. Bukannya sussah pun. Umpama nak makan limau le, orang dah tolong kupaskan untuk kita, apalagi "bedal" je le.
Yang nak susah-susah tu kenapa. Bab batal wuduk, susah sangat ke nak ambil balik wuduk tu. Saya rasa tak susah apalagi dalam negara kita yang punca air merata-rata boleh dijumpai. Saya rasa tak le susah mana.Apalagi agama Islam menekankan bab taharah, dan bukankan sentiasa dalam keadaan wuduk itu adalah maknanya kita sentiasa dalam keadaan bersih dan suci yang mana bila-bila masa sahaja kita boleh mendirikan sembahyang atau membaca Al-Quran tanpa was-was.
Nak baca doa qunut itu pula, apakah doa qunut itu panjang berjela, rasanya tidak pula saya rasa. Tak da pulak dalam doa qunut yang mananya doanya tu adalah "gaya bebas" yakni ikut suka kita nak mintak apa. Doa qunut itu pulak semuanya standard, minta baik badan, minta kuatkan iman, mintak petunjuk, minta keberkatan hidup yang mana itulah sebaik-baik permintaan terhadap Tuhan kita. Kita bukannya minta kereta Mercedes ke, nak rumah bungalow kerana semuanya perkara itu adalah sia-sia sahaja bila iman tak ada, badan tak sihat, tiada petunjuk dan tiada keberkatan hidup dan banyak le lagi.
Kalau nak kira yang mana susah, semua empat mazhab ini ada part yang dia berat ada part yang dia ringan. Contohle, tok guru saya ajar kalau bab mazhab Hanafi, ketawa berdekah-dekah itu batal wuduknya. Kalau mazhab Hanbali pula, makan daging unta batal wuduk, dan banyak lagi yang kita pening nak memahamkannya.
Jadi senang citer, ikut sahaja Mazhab Syafie pasal kita belajar cara macam tu. Lagipun Imam Syafie pun antara imam yang diakui dalam agama Islam.
pendapat :AbdullahThahir
Utusan Malaysia 12/12/2006
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Bermazhab tanpa fanatik rahmat kepada umat Islam
RAMAI yang agak keliru dengan fahaman mazhab. Pelbagai anggapan yang wujud acap kali persoalan bermazhab diajukan. Ada yang menganggap bahawa mazhab merupakan faktor kepada perpecahan umat Islam.
Ada juga yang beranggapan bahawa pegangan mazhab adalah salah dan sesat kerana tidak berpegang kepada al-Quran dan sunah. Namun ada juga yang memandang serong kepada golongan yang tidak bermazhab.
Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Petaling Jaya, Mohammad Nidzam Abd. Kadir cuba menjernihkan kekeruhan yang timbul dalam satu wawancara bersama wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, NAZERI ABU BAKAR baru-baru ini
UTUSAN MALAYSIA: Apakah sebenarnya mazhab dan bermazhab?
Mazhab adalah perkataan Arab daripada lafaz zahaba. Ia membawa maksud 'pergi'. Oleh itu, mazhab secara mudah boleh diertikan sebagai tempat pergi. Dalam pengertian umum, mazhab bermakna pendapat, fatwa, cara pengambilan hukum dan yang seumpamanya. Apabila disebut mazhab Maliki, ia bermakna pendapat Maliki, fatwanya, cara pengambilan hukumnya dan sebagainya.
Bermazhab pula bermakna mengikut al-Quran dan sunah berdasarkan kefahaman seorang ulama muktabar. Umat Islam yang bermazhab Syafii bermakna mengikut al-Quran dan sunah sebagaimana yang difahami oleh Imam Syafii. Sebagai manusia, sudah tentu Imam Syafii bukanlah seorang yang maksum (terpelihara daripada dosa dan kesilapan). Mungkin ada pendapat, kefahaman, fatwa dan huraian Imam Syafii terhadap al-Quran dan sunah kurang tepat. Oleh itu, sebagai umat yang sedar akan hakikat ini, kita sepatutnya meninggalkan pendapat Imam Syafii yang mungkin kurang tepat atau kurang sesuai untuk diamalkan.
Sebagai contoh, dalam masalah pembayaran zakat fitrah, Imam Syafii tidak mengharuskan penggunaan wang sebaliknya menekankan soal makanan asasi. Namun pendapat ini mungkin kurang sesuai diamalkan maka umat Islam telah berpindah kepada pendapat Imam Hanafi.
Apakah apabila bermazhab Syafii bermakna kita tidak mengikut Quran dan sunah dan begitu kepada mereka yang bermazhab Hanbali?
Jika benarlah ada tuduhan begini, ia satu tuduhan yang tidak berasaskan ilmu dan keinsafan. Sebenarnya, semua mazhab yang empat mengikut Quran dan sunah. Ini satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Sumber-sumber pengambilan hukum setiap mazhab meletakkan al-Quran diikuti sunah sebagai sumber tertinggi.
Jika ditanya kenapa rukun wuduk enam perkara, ada dalilnya daripada al-Quran dan sunah. Jika dicari kenapa rukun solat tiga belas perkara, ada dalilnya daripada al-Quran dan sunah. Setiap masalah pasti ada dalilnya.
Bagi yang ingin mendalami masalah ini, mungkin boleh cuba membaca buku Fiqh dalam empat mazhab berjudul, al-Fiqh a'la al-Mazahib al-Arbaa'h. Manakala bagi mereka yang ingin meluaskan perbincangan, boleh juga merujuk kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya). Kitab ini telah pun diterjemahkan. Sementara itu, bagi yang bermazhab Syafii, antara kitab yang baik ialah kitab al-Fiqh al-Manhaji a'la al-Mazhab as-Syafii. Ia juga telah diterjemahkan.
Jika semuanya mengikut al-Quran dan sunah kenapa umat Islam itu perlu bermazhab?
Secara ringkas, kesemuanya bersandarkan al-Quran dan sunah. Oleh itu, kembali kepada persoalan, kenapa bermazhab jika mengikut al-Quran dan sunah? Secara logik, ia boleh diibaratkan sebagai menghormati kepakaran seseorang. Sudah tentu tidak ada seorang manusia pun yang mampu menguasai ilmu pengetahuan. Jika sakit, kita akan berjumpa doktor. Apa sahaja ubat yang diberikan oleh doktor, biasanya kita akan terima dan mengambilnya. Apakah perlu kita mempersoalkan ubat yang diberikan?
Jika kereta rosak, kita akan menghantarnya kepada mekanik. Biasanya apa sahaja yang diperbaiki oleh mekanik, kita akan akur. Begitulah mazhab di mana tidak semua orang mampu menganalisis setiap ayat al-Quran dan hadis. Oleh itu, kita menghormati kepakaran seorang sarjana Islam yang telah menghabiskan masa, umur dan tenaga mengkaji hukum Islam.
Oleh itu adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu bermazhab?
Sebenarnya tidak salah untuk bermazhab khususnya mazhab yang muktabar dan terpelihara. Antaranya mazhab yang empat dalam Ahli Sunah iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali. Keempat mazhab ini mempunyai pengikut yang ramai dan ulama muktabar selepas mereka. Ulama-ulama ini bertanggungjawab menyusun dan menapis setiap pendapat dengan dalil dan hujah.
Namun ada satu penyakit dalam masalah mazhab iaitu fanatik kepada mazhab. Fanatik ini disebut sebagai taksub. Fanatik akan menyebabkan banyak masalah dan musibah.
Oleh itu, kemungkinan besar antara punca perpecahan umat Islam ialah fanatik mazhab bukan bermazhab. Sekadar bermazhab tanpa fanatik merupakan satu rahmat kepada umat Islam.
Fanatik mazhab akan melahirkan perasaan bahawa mazhab anutannya sahaja yang betul manakala mazhab lain adalah salah, mengakibatkan orang tidak mahu bersolat dengan imam yang berbeza mazhab, menjadikan perkahwinan antara orang berbeza mazhab tidak sah. Akhirnya umat Islam hidup dalam perpecahan.
Apabila menyebut tentang perbezaan bermazhab, medan yang sering mewujudkan kecelaruan ialah semasa berlangsung ibadat haji. Boleh ustaz jelaskan bagaimana kesatuan umat mampu dicapai dalam perhimpunan tahunan ini?
Contohnya pandangan berbeza di antara Mazhab Syafii dan Mazhab Hanbali tentang doa qunut dalam solat Subuh di mana satu mengatakannya sunat dilakukan dan jika tertinggal disunatkan melakukan sujud sahwi berlainan dengan Mazhab Hanbali yang tidak ada doa qunut.
Perbezaan ini terhapus jika kita kembali kepada roh bagi menyatukan umat. Selain berpegang kepada hadis yang bermaksud: Sesungguhnya dijadikan imam agar ia diikuti. (Riwayat Bukhari)
Selain itu, wuduk batal apabila bersentuhan tapak lapik lelaki dan wanita. Mengikut Mazhab Syafii, wuduk batal. Ini mungkin agak menyusahkan. Apa salahnya jika dia bertaqliq (mengikut) kepada mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali. Perpindahan ini sedikit sebanyak menghapuskan fanatik mazhab.
Begitu juga dalam tata cara ibadat haji iaitu terdapat tiga cara; haji Ifrad, Tamattu’ dan Qiran. Terdapat pelbagai pendapat mana satu yang afdal. Bagi yang bermazhab Syafii, haji Ifrad adalah yang paling baik. Ada juga keadaan di mana umat Islam bermazhab Syafii memandang lekeh kepada orang yang melakukan haji Tamattu’. Semua ini terhapus jika ada kesedaran bahawa semua jenis haji memang sabit dengan dalil yang sahih.
Kesimpulannya, ibadat haji selain sebagai rukun Islam ia juga mempunyai roh untuk menyatukan umat. Semoga ia termasuk dalam firman ALLAH yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka... (al-Haj: 2
Lantaran itu, bagaimana seharusnya umat Islam itu boleh melihat dan merealisasikan satu paradigma baru dalam bermazhab?
Bagi mengatasi masalah fanatik mazhab, maka menjadi kewajipan untuk umat Islam menyedari hakikat bahawa semua mazhab muktabar mengikut al-Quran dan sunah.
Oleh itu, adalah baik jika pengajian bermazhab dipermudahkan. Permasalahan wuduk yang mudah dan senang janganlah dipayahkan. Ia juga memerlukan penggunaan dalil agar umat Islam lebih terbiasa dengan al-Quran dan sunah.
Pendidikan perlulah ada langkah demi langkah untuk memahamkan kita dengan al-Quran dan sunah. Jika kecil, kita diajar cara berwuduk tanpa mengetahui dalilnya. Alangkah eloknya jika kita semakin pandai membaca, maka kita cuba lagi menggali sedikit demi sedikit lautan mutiara ilmu dalam al-Quran dan sunah. Bukan sekadar tahu dalilnya sahaja tetapi dapat menyelami hikmah dan faedahnya. Semua ini akan mengukuhkan keyakinan kita terhadap ajaran ALLAH s.w.t.
Umat Islam juga hendaklah meletakkan al-Quran dan sunah sebagai sumber tertinggi dalam Islam, bukannya mazhab. Sebagaimana dimaklumi, mazhab adalah tafsiran terhadap keduanya. Ada kemungkinan pandangan mazhab kurang tepat atau mungkin kurang sesuai diamalkan.
Maka tanpa penyakit fanatik mazhab, tanpa menjadikan mazhab sebagai syariat, maka akan mudahlah untuk kita mengikut pandangan yang lebih hampir dengan al-Quran dan sunah.
Tolong ustaz berikan contoh ulung dalam menghormati perbezaan pendapat.
Satu contoh yang sering disebut adalah tentang Imam Syafii. Dalam mazhab ini, doa qunut dalam solat Subuh adalah sunat. Jika tidak dilakukan doa qunut, maka sunat diganti dengan sujud sahwi.
Satu masa, Imam Syafii berkunjung ke satu masjid di mana penduduk setempat di situ bermazhab Hanafi. Imam Syafii diminta menjadi imam solat Subuh. Apabila bersolat, beliau meninggalkan doa qunut dan tidak pula melakukan sujud sahwi. Selesai solat, beliau ditanya masalah ini. Beliau menjawab bahawa beliau menghormati pendapat Imam Hanafi yang tidak menyunatkan doa qunut ketika solat Subuh.
Begitulah ceritanya secara ringkas. Jika benarlah cerita ini, ia patut menjadi contoh kepada umat Islam terutamanya di negara ini dalam adab bermazhab.
sumber :http://www.bicarasufi.com/bsc/viewtopic.php?t=13848
Tidak ada komentar:
Posting Komentar