MUQADDIMAH
Metodologi istinbat disebut juga sebagai usul fiqh adalah metodologi pengambilan hukum daripada nas. Metodologi istinbat ini adalah berdasarkan kemampuan ulama memahami sesuatu nas. Kefahaman yang baik dan mendalam adalah anugerah. Dalam Quran diceritakan antara Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s . Kedua-dua mereka dikurniakan ilmu tetapi kefahaman dikhususkan kepada Nabi Sulaiman a.s. Firman ALLAH :
وداود وسليمان إذ يحكمان فى الحرث ... ففهمنا سليمان وكلا ءاتينا حكما وعلما ( سورة الأنبياء : 78-79 )
“Dan Daud dan Sulaiman ketika kedua-dua mereka berhukum dalam masalah tanaman…maka kami fahamkan Sulaiman. Dan kedua mereka telah Kami berikan hukum dan ilmu…”.
KEPENTINGAN
Ilmu ini adalah salah satu ilmu yang penting agar hukum yang dibuat bertepatan dengan hukum syarak yang sebenar. Jika diteliti kepada syarat-syarat mujtahid, keilmuan tentang usul fiqh adalah syaratnya selain keilmuan berkaitan Quran dan sunnah.
Metodologi ini telah wujud dalam dada mujtahid ummah sejak zaman para sahabat r.a. Sebagai contoh : Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa iddah wanita hamil yang mati suaminya ialah dengan melahirkan anak walaupun tempohnya singkat. Walaupun terdapat dua ayat yang pada zahirnya bertentangan, tetapi kefahaman yang baik membantu :
وأولات الأحمال أجلهن أن يضعن حملهن ( سورة الطلاق : 4 )
“Dan wanita hamil tempoh iddahnya hingga ia melahirkan kandungannya”.
والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجا يتربصن بأنفسهن أربعة أشهر وعشرا ( سورة البقرة : 234 )
“Dan wanita yang kematian suami maka iddahnya ialah empat bulan sepuluh hari”.
Metodologi yang digunakan ialah ayat dalam Surah at-Tolaq turun selepas ayat dalam Surah al-Baqarah. Ini menunjukkan kepada suatu prinsip iaitu nas kedua menasakhkan/mengtakhsiskan nas pertama.
1) IJMAK الإجماع
اتفاق مجتهدي أمة محمد صلى الله عليه وسلم بعد وفاته في عصر من الأعصار على أمر
من الأمور
“Kesepakatan ulama mujtahid umat Muhammad s.a.w. selepas kewafatan Nabi pada satu zaman daripada zaman atas satu perkara…”.
Jumhur ulama menerima ijmak manakala sebahagian mazhab seperti Imamiyyah tidak menerimanya. Aspek utama dalam masalah ijmak ialah ijmak ahli Madinah.
Ijmak ahli Madinah إجماع أهل الـمدينة
Kebanyakan ulama tidak berhujjah dengan ijmak ahli Madinah, tetapi Imam Malik berhujjah dengannya. Ini kerana :
- Madinah ialah tempat hijrah Nabi s.a.w. dan tempat turun wahyu.
- Ahli Madinah menyaksikan turunnya wahyu dan mereka paling arif tentang hal ehwal Nabi s.a.w.
- Riwayat ahli Madinah didahulukan daripada riwayat lain, maka ijmak mereka lebih utama.
Contoh : Bacaan makmum solat belakang imam
Imam Malik berpendapat bahawa makmum perlu membaca jika imam tidak menyaringkan bacaan. Makmum hendaklah meninggalkan bacaan jika imam menyaringkan bacaan. Imam Malik berkata :
الأمر عندنا أن يقرأ الرجل وراء الإمام فيما لا يجهر فيه الإمام بالقراءة ، ويترك القراءة فيما يجهر فيه الإمام بالقراءة
“Perkara di sisi kami ialah makmum membaca di belakang imam jika imam tidak menyaringkan bacaan, dan makmum meninggalkan bacaan jika imam menyaringkan bacaan”.
Imam Syafii berpendapat bahawa makmum wajib membaca Fatihah sama ada imam menyaringkan bacaan atau tidak.
sumber :http://www.blogger.com/post-create.g?blogID=3027113908735253517
Tidak ada komentar:
Posting Komentar